Tuesday, December 11, 2018

Karangan Cabaran Antaranya Keluarga Komuter dan Keluarga Sandwich


Pembangunan dan cabaran moden masa kini mewujudkan pembangunan dan cabaran moden masa kini mewujudkan kepelbagaian bentuk keluarga baru antaranya keluarga komuter dan keluarga sandwich.Cabaran keluarga berubah dari semasa ke semasa.                                         
Bincangkan peranan setiap ahli keluarga dalam menangani cabaran keluarga masa kini.


Setiap hari dunia digemparkan dengan pencapaian yang hebat oleh manusia di seluruh pelusuk negara. Malaysia juga tidak ketinggalan untuk menempa nama. Taraf negara kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara luar yang maju. Namun begitu,  pembangunan negara yang berkembang pesat ibarat cendawan tumbuh selepas hujan telah memberi kesan yang drastik kepada sektor sosial di negara ini. Hal ini telah menyebabkan wujudnya kepelbagaian bentuk keluarga baru. Frasa keluarga komuter dan keluarga sandwich yang masih baru di telinga rakyat Malaysia muncul baru-baru ini. Menurut Fuziah Shaffie (Sem. Julai 2008/2009) , keluarga komuter ialah pasangan yang bekerja di tempat yang berlainan dan menyebabkan pasangan ini tinggal di tempat yang berbeza. Sebagai contoh, seorang suami bekerja di Kuala Lumpur manakala isterinya pula bekerja di Sabah dan anak-anak mereka berasrama di Kedah. Keluarga sandwich pula ialah pasangan yang harus menyara ibu bapa, diri sendiri dan anak-anak mereka, iaitu tiga generasi dalam sebuah rumah (Zahir Zainudin,2014). Setiap bentuk keluarga yang ada di negara ini pasti terdapat cabaran yang perlu dihadapi. Oleh itu, seluruh ahli keluarga hendaklah memainkan peranan mereka dalam menyelesaikan masalah yang ditimpa.

Pada hemat saya, ibu bapa haruslah mengamalkan serta menerapkan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak. Baik keluarga komuter mahupun keluarga sandwich, kewangan menjadi isu yang penting bagi mempertahankan perhubungan kekeluargaan ini. Bagi keluarga komuter, wang banyak dihabiskan dalam kos pengangkutan dan perhubungan. Hal ini disebabkan jarak perjalanan pulang ke rumah yang agak jauh dan perbualan melalui telefon yang mengambil masa berjam-jam demi melepaskan rasa rindu yang terbuku di hati. Oleh itu, perancangan dari segi kewangan perlu disediakan bagi mengelak berlakunya pembaziran. Hal ini dapat dilaksanakan dengan memilih hari yang sesuai untuk pulang ke pangkuan keluarga. Selain itu, waktu perbualan juga haruslah dipendekkan atau menggunakan aplikasi percuma di telefon pintar untuk berbual seperti Whatsapp dan Wechat.  Bagi keluarga sandwich pula, wang dihabiskan dalam perbelanjaan harian rumah tangga. Hal ini kerana ibu atau bapa atau kedua-duanya yang bekerja harus menampung ibu bapa mereka serta anak-anaknya. Hal ini dapat diselesaikan dengan berjimat-cermat ketika membeli barang keperluan. Di samping itu, anak-anak digalakkan untuk membawa bekal ke sekolah agar wang saku kurang dihabiskan di sekolah. Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diterima juga mestilah digunakan untuk perkara yang penting sahaja. Jelaslah, seluruh ahli keluarga haruslah berjimat-cermat agar kos perbelanjaan dapat dikurangkan.



Seterusnya, anak-anak juga memainkan peranan yang penting untuk mengatasi cabaran keluarga masa kini. Bagi mereka yang mengalami keluarga komuter, anak-anak haruslah memberi sokongan moral kepada ibu bapa mereka. Hal ini kerana ibu atau bapa berasa kesunyian tanpa pasangannya disisi. Janganlah anak-anak membuat permintaan yang berat kepada ibu atau bapa yang berjauhan ketika ingin pulang ke rumah. Hal ini akan menyebabkan mereka berasa beban untuk pulang. Sebaliknya, anak-anak hendaklah menyambut mereka dengan rasa gembira serta memeluknya. Hal ini dapat menenangkan hati serta melupakan rasa penat mereka. Anak-anak dalam keluarga sandwich juga hendaklah memahami perasaan ibu bapa mereka yang terpaksa menampung tiga generasi dalam satu rumah. Mereka bolehlah membantu meringankan penat ibu bapa mereka dengan membuat kerja di rumah seperti mengemas rumah dan memasak. Dengan itu, ibu bapa tidak berasa tertekan apabila pulang rumah. Malah, mereka berasa senang melihat rumah dalam keadaan bersih dan teratur. Oleh itu, anak-anak juga memainkan peranan yang penting bagi mengukuhkan keluarga untuk menghadapi cabaran.

Di samping itu, peranan ahli keluarga yang lebih tua seperti nenek dan datuk juga penting dalam sebuah institusi kekeluargaan. Mereka yang banyak makan garam sudah pasti mempunyai ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, mereka bolehlah mendidik cucu-cucu mereka untuk menjadi insan yang berguna sementara ibu bapa mereka sibuk mencari nafkah untuk menyara keluarga. Ibu bapa yang sibuk bekerja tidak perlu mengeluarkan duit yang banyak untuk menghantar anak-anak mereka yang masih kecil ke pusat jagaan kanak-kanak. Nenek dan datuk dengan senang hati untuk menjaga mereka. Malah, kasih sayang yang diberikan tidak sama di pusat jagaan. Keselamatan mereka juga terjamin kerana anak-anak berada di bawah pangkuan orang yang lebih dipercayai. Selain itu, pengalaman mereka juga dapat dimanfaatkan sekiranya berlaku perbalahan antara ahli keluarga. Mereka lebih arif untuk diminta pendapat serta nasihat. Ibu bapa mentua tidak boleh memusuhi menantu mereka sendiri. Mereka sebagai warga yang lebih tua haruslah bersifat matang dalam hal ini. Janganlah menyakiti hati menantu dengan perkataan yang mengguriskan hati. Sebaliknya, berilah mereka sokongan moral sacara istiqomah. Jelaslah, peranan mereka penting dalam menyelesaikan cabaran yang dihadapi keluarga zaman ini.

Akhir sekali, ibu bapa hendaklah menekankan didikan agama dalam diri anak-anak. Walaupun tinggal berjauhan, hal ini tidak boleh dijadikan sebagai alasan sekiranya anak kurang didikan agama dan moral. Jangan kita menyesal jika anak-anak terjebak dalam gejala sosial yang negatif kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Di zaman yang serba moden ini, banyak kelas-kelas agama yang didirikan di negara ini seperti KAFA. Selain itu, buku-buku agama juga mudah didapati di kedai-kedai buku yang berhampiran. Pembelajaran atas talian juga boleh dilaksanakan dengan senang. Aplikasi seperti ‘Skype’ merealisasikan pembelajaran atas talian dengan mudah. Ibu bapa dan anak-anak hanya perlu memuat turun aplikasi ini dan membuat akaun untuk log masuk. Kemudian, sesi pembelajaran bolehlah dimulakan. Sudah terbukti ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menerapkan hal agama kepada anak-anak kerana bak kata pepatah meluntur buluh biar dari rebungnya.

Sudah terang lagi bersuluh, setiap ahli keluarga hendaklah memainkan peranan masing-masing agar cabaran kekeluaragaan msa kini dapat diatasi dengan petik jari. Tanpa kerjarsama daripada setiap anggota keluarga, keberangkalian untuk keluarga itu runtuh amatlah tinggi. Oleh itu, setiap ahli keluarga haruslah berganding bahu bak kata mutiara bagai aur dengan tebing demi menyelamatkan masjid yang dibina bersama. Penggemblengan tenaga dan usaha yang proaktif mestilah dilakukan secara konsisten umpama serumpun bagai serai, selubang bagai tebu. Sewajarnya, untuk mengatasi cabaran keluarga era baru, setiap ahli haruslah bertanggungjawab tidak kira dari keluarga komuter mahupun keluarga sandwich.  























Rujukan

Prof. Madya Dr. Fuziah Shaffie (Sem. Julai 2008/2009). DINAMIK KELUARGA. Dimuat turun daripada https://www.scribd.com/doc/20457134/dinamik-keluarga#scribd

Zahir Zainudin (2014,Januari). Dasar Keluarga Negara: Agenda Kestabilan Sosial dan Kesejahteraan Negara. Dimuat turun daripada http://zahirzainudin.blogspot.my/2014/01/dasar-keluarga-negara-agenda-kestabilan.html




No comments:

Post a Comment